Medan elektrik dan magnet Keelektromagnetan

Untuk memudahkan pemahaman medan elektromagnet, medan itu biasanya dipisahkan menjadi dua medan yang berasingan, iaitu medan elektrik dan medan magnet. Sebuah medan elektrik bukan sifar akan dihasilkan oleh kehadiran zarah-zarah yang mempunyai cas elektrik, dan medan itu pula akan menghasilkan daya elektrik; ini adalah daya yang menghasilkan elektrik statik dan mendorong aliran cas elektrik (arus) dalam pengalir elektrik. Sebaliknya, medan magnet boleh dihasilkan oleh gerakan cas-cas elektrik, atau arus elektrik, dan menghasilkan daya magnet yang berkait dengan magnet.

Istilah ""kelektromagnetan" datangnya daripada daya-daya juzuk elektrik dan magnet yang berasingan. Sebuah medan magnet yang berubah-ubah akan menghasilkan sebuah medan elektrik (ini ialah fenomena aruhan elektromagnet yang mendasari operasi penjana elektrik, motor aruhan, dan transformer). Serupa juga, sebuah medan elektrik yang berubah-ubah akan menghasilkan medan magnet.

Disebabkan kesalingbergantungan medan-medan elektrik dan magnet ini, adalah wajar bagi kita menganggap kedua-dua medan ini sebagai satu entiti yang tunggal, iaitu medan elektromagnet. Penyatuan ini yang disiapkan oleh James Clerk Maxwell merupakan salah satu kejayaan fizik abad ke-19. Konsep ini mempunyai kesan-kesan yang meluas, antaranya penjelasan sifat cahaya: apa yang telah dianggap sebagai "cahaya" didapati merupakan gangguan ayunan terambat dalam medan elektromagnet, iaitu gelombang elektromagnet.

Frekuensi-frekuensi ayunan yang berbeza menghasilkan bentuk-bentuk sinaran elektromagnet yang berbeza, dan terdiri daripada gelombang radio pada frekuensi-frekuensi yang terendah, cahaya nampak pada frekuensi-frekuensi pertengahan, dan sinar gamma pada frekuensi-frekuensi tertinggi.

Implikasi-implikasi teori terhadap elektromagnetisme telah menyebabkan pengembangan kerelatifan khas oleh Albert Einstein pada tahun 1905.